27 JUN: Hasil ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap 99 pelarian Rohingya yang mendarat di perairan Aceh Utara disahkan negatif virus itu.
Ketua Penerangan Kesihatan Daerah Aceh Utara Amir Syarifuddin berkata, ujian itu dilakukan terhadap 48 pelarian wanita, 17 lelaki dan 34 kanak-kanak.
“Kita sudah lakukan ujian rapid terhadap 99 orang, selesai jam 11 malam (waktu tempatan), semuanya negatif Covid-19,” katanya.
Ujian saringan Covid-19 itu dilakukan Pertubuhan Migran Antarabangsa (IOM) yang menyatakan pihaknya ke lokasi penempatan sementara pelarian itu di Lhokseumawe, Aceh untuk memberikan bantuan ubat-ubatan.
Ketua Misi IOM Indonesia, Louis Hoffmann berkata, hasil ujian saringan Covid-19 yang dilakukan pada Khamis lalu menunjukkan semua pelarian negatif wabak itu.
“Ini adalah khabar baik kerana kami bimbang sekiranya berlaku jangkitan daripada pelarian kepada penduduk setempat,” katanya.
Bagaimanapun, Amir Syarifuddin berkata, sebahagian besar pelarian itu dalam keadaan lemah kerana mengalami dehidrasi dan kekurangan makanan selepas berhari-hari berada di lautan.
“Tidak ada yang memerlukan rawatan di hospital, mereka hanya dirawat di penempatan sementara,” katanya.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 94 warga Rohingya ditemui dalam keadaan lemah dan kebuluran atas kapal di perairan utara Indonesia, di Aceh.
Menurut pihak berkuasa Rabu lalu, semua mereka ditemui oleh tiga nelayan pada lewat Isnin kira-kira enam kilometer dari pantai.