27 JUN: Peluang selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah negara disia-siakan sehingga menyebabkan rakyat menderita dan menjadi huru hara dalam pelbagai aspek.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sewajarnya pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 julai ini perlu menolak calon yang mempunyai kaitan dengan PH.
Menurut beliau, walaupun PH tidak bertanding dalam PRK kali ini tetapi mereka meletakkan proksinya bagi tujuan itu.
“Kita terlihat, terhidu bau calon-calon yang dikatakan bebas tersebut didokong jentera-jentera parti yang tak mahu bertanding.
“Itulah saya harap di Chini ini pada 4 Julai nanti keluar seramai mungkin dalam Dewan Undangan Negeri Chini ini dan undilah Barisan Nasional (BN),” katanya seperti dilaporkan UMNO Online hari ini.
Mohamad berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Paloh Hinai, malam tadi.
Mohamad menambah, pengundi di Chini perlu menunjukkan kepada rakyat seluruh negara bersama pengundi di Tanjung Piai, Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands bahawa BN tidak boleh lagi menerima tipu helah PH dan mesti dikalahkan pada Pilihan Raya umum Ke-15 akan datang.
Beliau berkata, gabungan parti dalam PH mempunyai agenda serta ideologi masing-masing dan kerana itu mereka tidak berjaya berbeza dengan kemuafakatan yang wujud di dalam BN dan Pas selain rakan parti lain.