Bandar Gurugram, India diserang belalang juta
28 JUN: Gurugram, iaitu bandar satelit New Delhi, India diserang belalang juta sehingga menyebabkan penduduk diarahkan menutup tingkap rumah masing-masing manakala juruterbang mengambil langkah berjaga-jaga ketika pesawat berlepas dan mendarat.
Memetik laporan Agensi, arahan kepada juruterbang itu dikeluarkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi yang berjiran dengan Gurugram.
Serangan belalang juta tersebut dipercayai yang pertama berlaku di bandar berkenaan.
Sebelum ini, kejadian serupa dilaporkan pernah berlaku di beberapa kampung di Gujarat dan Rajasthan di utara India.
Kejadian serangan belalang juta itu turut tular dalam media sosial termasuk Twitter.
Kerajaan India menggunakan kenderaan khas dan jentera bomba untuk menyembur racun serangga bagi menangani serangan belalang juta tersebut.