28 JUN: Kerajaan dicadangkan supaya mengecualikan industri perladangan daripada pembekuan pengambilan pekerja asing dan membenarkan mereka yang pulang ke negara asal untuk kembali bekerja.
Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) dalam satu kenyataan semalam berkata, industri tersebut amat bergantung kepada pekerja asing untuk kerja-kerja di lapangan terutamanya dalam proses penuaian buah tandan sawit.
“Kami ingin memaklumkan kepada pihak menteri bahawa dalam industri tertentu seperti sektor perladangan, rakyat Malaysia enggan membuat kerja seperti yang dipikul oleh pekerja asing. Pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor pertanian dianggap 3D (kotor, berbahaya dan sukar), dan jauh dari kawasan bandar.
“Penduduk tempatan tidak berminat walaupun wujud potensi gaji dan kemudahan yang lebih baik di ladang,” jelas MEOA.
Persatuan itu turut merayu agar kementerian dan agensi yang berkaitan mempertimbangkan kelangsungan hidup serta kemampanan sektor perladangan termasuk industri minyak sawit di Malaysia.
MEOA juga berharap kerajaan membenarkan syarikat penanam untuk mengambil tenaga kerja asing, selepas usaha mereka untuk mengisi kekosongan kerja tidak mendapat minat dari kalangan rakyat tempatan.
Dalam keadaan negara masih belum reda dengan COVID-19, MEOA turut memohon agar permit pekerja asing yang masih tinggal dalam negara ini diperbaharui dan dilanjutkan sewajarnya.
“Industri perladangan bersedia untuk mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan dan prosedur operasi standard, termasuk ujian COVID-19 dan kuarantin,” kata MEOA.