29 JUN: Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam mewakilinya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan menggunakan afidavit sokongan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam permohonan semakan kehakiman mereka untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes mereka.
Memetik laporan BERNAMA, dalam afidavit itu, Mohamed Apandi mendakwa Gopal cuba meyakinkan beliau untuk menahan Najib yang ketika itu Perdana Menteri berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib menggunakan afidavit sama dalam permohonannya untuk melucutkan kelayakan Gopal daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB dihadapinya dan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos untuk mendengar permohonan itu.
Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu pemberita, pihaknya telah menyerahkan notis untuk menggunakan afidavit itu kepada responden, semalam (28 Jun).
“Mahkamah telah menetapkan 6 Julai untuk Gopal memberi jawapan balas terhadap afidavit Mohamed Apandi dan 13 Julai ditetapkan untuk perbicaraan,” katanya selepas perkara itu dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya di dalam kamarnya hari ini.
Muhammad Shafee berkata adalah penting untuk mahkamah mendengar perkara itu kerana Gopal masih menjalankan tugas sebagai pendakwa raya dan sekiranya wujud masalah dengan pelantikannya, dengan itu semua kes itu akan dibatalkan.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Gopal yang dinamakan sebagai responden.
Kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan pada 15 Oktober 2019, menolak permohonan Pejabat Peguam Negara, Gopal dan kerajaan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah rayuan yang memberikan kebenaran kepada kedua-dua mereka untuk mencabar pelantikan itu.
Najib dan Muhammad Shafee, telah secara berasingan, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Disember 2018 untuk mencabar keputusan Peguam Negara melantik Gopal sebagai timbalan pendakwa raya mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.
Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Gopal atau menggugurkan beliau, menyatakan surat pelantikan beliau adalah tidak sah.
Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Gopal dan memohon perintah melarang beliau (Gopal) mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes dihadapi kedua-dua mereka, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Mohamed Apandi, dalam afidavitnya, mendakwa pada lewat tengah hari pada Januari 2018, Gopal datang ke rumahnya di Jalan Dutamas di sini, selepas beliau (Gopal) membuat beberapa panggilan telefon kepadanya menyatakan mahu bercakap secara peribadi dengannya.
“Beliau (Sri Ram) berkata, “Tun M (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) hantar saya untuk berjumpa anda” dan beliau seterusnya berkata, “Beliau (Tun M) mahu anda menahan Najib di pejabatnya, anda pergi esok pada 2 petang, kami telah aturkan polis di Putrajaya lakukan apa yang perlu berdasarkan arahan anda. Kami juga telah aturkan bagi majistret mengeluarkan perintah reman apabila beliau (Najib) dibawa ke hadapannya”, kata bekas Peguam Negara itu.
Mohamed Apandi mendakwa Gopal memberitahunya yang beliau akan menjadi wira di mata rakyat dan akan menjadi Peguam Negara pertama menahan seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat dan mereka telah menyediakan rancangan dan apa yang beliau (Gopal) perlukan kini adalah untuk dirinya bersetuju.
Bekas Peguam Negara itu menegaskan bahawa Gopal mempunyai misi yang jelas berat sebelah terhadap Najib dan semua kes dihadapinya.