29 JUN: Rakyat Malaysia dan warga asing perlu menanggung kos ujian saringan COVID-19 sekembalinya mereka ke negara ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walau bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk mereka yang tergolong dalam tiga kategori.
“Mereka ialah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi.
“Selain itu, pelajar yang pulang dari luar negara untuk kali pertama sahaja dan mereka perlu mengemukakan bukti pengajian,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau memberitahu, bagi tiga kategori itu, jika telah membayar caj ujian saringan sebelum keputusan pengecualian ini dibuat, mereka boleh menuntut semula caj dari Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 65 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 36 individu telah direman manakala 29 individu lagi telah dikenakan kompaun.
“Antara aktiviti terlarang yang melanggar SOP termasuk acara dan pertandingan sukan, aktiviti karaoke atau pusat hiburan keluarga dan aktiviti judi atas talian,” jelasnya.
Ismail Sabri menyatakan, PDRM juga berjaya menahan lima warga asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen. – Oleh HUSSAINI AMRAN