30 JUN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa beliau berkomplot dengan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, dakwaan tersebut helah kelompok yang kemaruk kuasa di mana fitnah akan dijadikan dalih dan alasan mereka bertapak.
“Saya tidak berkomplot di belakang seperti sesetengah pihak yang lain.
“Ia tidak pernah dibincang dalam Keadilan atau di peringkat Pakatan Harapan (PH), dan tidak dibangkitkan dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar membantah sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Semalam, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahudin Ayub dan Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran dalam kenyataan bersama menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak di luar kerangka PH Plus.
Difahamkan, kenyataan itu adalah reaksi terhadap pertemuan Anwar dengan Muhyiddin dan Hamzah baru-baru ini.
Pada masa ini, PH Plus berdepan krisis yang parah akibat kegagalan mereka bersepakat tentang calon Perdana Menteri.
PKR tidak mahu berganjak daripada pendirian mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri manakala kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan nama Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Amanah dan DAP pula lebih cenderung menyokong pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas enam bulan. – Oleh HUSSAINI AMRAN