30 JUN: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun antara nama disebut bakal dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.
Beliau akan menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang kini berdepan usul dilucutkan jawatannya pada hari pertama sesi Parlimen yang bermula 13 Julai ini.
Azhar yang mempunyai latar belakang pendidikan undang-undang dilantik sebagai Pengerusi SPR oleh kerajaan PH pada 21 September 2018.
Difahamkan, menguruskan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah tugas terakhir Azhar.
PNBBC Portal sedang berusaha mendapatkan ulasan Azhar.
Sementara itu, sumber berkata, tindakan menggantikan Mohamad Ariff juga mengambil kira tindak tanduk pegawai-pegawainya yang kerap mengkritik dan menyalahkan kerajaan PN.
Dua pegawai terbabit yang juga pemimpin parti Amanah (PAN) kerap memuat naik status menghentam kerajaan hari ini di media sosial selama dalam ceramah anjuran parti pembangkang itu.
Seorang daripada pegawai terbabit adalah anak kepada pemimpin utama PAN yang juga bekas menteri kerajaan PH.
Selain Mohamad Ariff, timbalan speaker Nga Kor Meng daripada DAP juga akan digantikan dan nama Ahli Parlimen Penggerang Datuk Seri Azalina Othman Said disebut-sebut mengambil alih tempat tersebut.