Berhati-hati skim pelaburan perguna nama Sime Darby
30 JUN: Sime Darby Bhd menafikan pernah melantik mana-mana individu, organisasi atau syarikat bagi menawarkan cadangan pelaburan kepada orang awam.
Syarikat itu menyatakan, pihaknya tidak mempunyai sebarang profil atau halaman Facebook rasmi pada masa ini.
“Orang ramai disarankan untuk berwaspada terhadap individu, entiti dan syarikat yang menawarkan cadangan pelaburan seperti ini,” kata Sime Darby dalam satu kenyataan hari ini.
Sime Darby memberitahu, terdapat percubaan beberapa individu tidak dikenali yang mendakwa wakil syarikat dan meminta dana daripada orang awam melalui mesej palsu yang menawarkan cadangan perniagaan dan pelaburan.
Tambahnya, pihak berkenaan telah menggunakan nama dan logo Sime Darby tanpa kebenaran.
“Mesej palsu itu telah disebarkan melalui aplikasi pesanan ringkas WhatsApp atau halaman kumpulan palsu di laman Facebook.
“Kami ingin menegaskan bahawa cadangan perniagaan dan tawaran pelaburan itu telah disebarkan dengan niat jahat untuk menipu orang ramai. Satu laporan polis telah pun dibuat,” katanya.
Sementara itu, Sime Darby menasihatkan orang awam yang digalakkan untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta pengesahan dengan menghubunginya melalui email di communications@simedarby.com atau whistleblowing@simedarby.com atau di talian 03-7623 2000. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH