ICQS Padang Besar & Durian Burung dibuka semula
30 JUN: Kerajaan memutuskan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis dan Durian Burung, Kedah dibuka semula bagi kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja.
Keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Agensi-agensi yang terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan ini untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia, mereka tidak perlu lagi memohon permit MyPass dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara berkenaan.
Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan, seramai 456 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Indonesia, Singapura, Mesir, Qatar dan Belanda.
Beliau berkata, kesemua individu terbabit telah diperintahkan untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka.
“Seramai 161 individu pula telah memasuki sempadan negara di Johor dan kesemua mereka telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah,” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat sebanyak 1,006 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati semua mematuhinya. – Oleh HUSSAINI AMRAN