Iran dapatkan bantuan Interpol untuk tangkap Trump
30 JUN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan 35 pegawainya menjadi sekumpulan manusia paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Iran kerana dituduh terlibat dalam pembunuhan Jenera Qasem Soleimani pada Januari lalu.
Malah, Iran meminta bantuan Interpol untuk menangkap mereka yang dipercayai terbabit dalam serangan dron itu.
Memetik laporan agensi berita IRNA, pendakwa raya Tehran, Ali Qasi Mehr, siasatan telah dijalankan terhadap Trump dan 35 pegawai AS berkenaan.
“Mereka ini dituduh melakukan pembunuhan dan keganasan. Senarai paling atas ialah Trump dan pendakwaannya akan diteruskan, walaupun selepas tamat tempoh penggalnya.
“Badan kehakiman Iran juga sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap 36 orang yang terbabit itu,” katanya.
Beliau juga meminta Interpol mengeluarkan notis merah bukan sebagai waran tangkap, tetapi bagi mereka yang dikehendaki untuk pendakwaan atau hukuman.
Trump sebelum ini mengarahkan pembunuhan Soleimani pada 3 Januari lalu dengan serangan dron berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.
Soleimani adalah pejuang bagi negaranya, namun bagi Trump, dia adalah seorang pengganas paling dikehendaki di dunia dan sepatutnya sudah lama dihapuskan.
Sementara itu, wakil khas AS bagi Iran, Brian Hook, turut mempersendakan permintaan Iran kepada Interpol dan menganggapnya sebagai aksi propaganda.
“Penilaian kami adalah bahawa Interpol tidak campur tangan dan mengeluarkan notis merah berdasarkan sifat politik,” katanya dalam sidang akhbar di Riyadh, semalam.