MySPC diaktif semula, impak COVID-19 agenda utama
30 JUN: Kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang ditubuhkan pada 2016 berkuat kuasa serta merta dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, majlis itu yang kali terakhir bermesyuarat pada Disember 2019 ditubuhkan untuk menyelaras agenda kesejahteraan sosial yang holistik dan bersepadu.
Menurut beliau, keputusan mengaktifkan semula MySPC diambil semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi kali ke-13 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Mesyuarat EAC itu antara lain membincangkan isu dan cabaran sistem perlindungan keselamatan sosial bukan sahaja dalam mendepani krisis COVID-19 tetapi juga untuk masa-masa seterusnya,” katanya dalam kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, semalam.
Mustapa menambah, pandemik COVID-19 yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara memberi impak yang amat besar kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau memberitahu, situasi itu sekali gus menuntut satu sistem perlindungan sosial yang lebih dinamik dan komprehensif.
“Sebagai contoh, program perlindungan sosial sedia ada seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hanya melindungi pekerja di sektor formal tetapi sebahagian besar daripada 2.7 juta pekerja di sektor tidak formal masih tidak dilindungi,” jelasnya.
Selain itu, kata Mustapa, berdasarkan trend peralihan demografi semasa, Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2030 dengan 15.3 peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.
“Keadaan ini memerlukan negara menyediakan satu sistem perlindungan sosial yang lebih dinamik agar rakyat memiliki simpanan yang mencukupi bagi menampung kehidupan mereka sepanjang tempoh persaraan.
“Di samping itu, pangkalan data penerima bantuan yang lebih bersepadu merentasi kementerian dan agensi akan dapat membantu kerajaan dalam menggubal dasar yang strategik dan meningkatkan keberkesanan dan penyampaian program sosial yang dirancang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut memutuskan agar MySPC yang diaktifkan semula akan merangkumi empat teras strategik iaitu bantuan sosial, insurans sosial, intervensi pasaran buruh serta data dan tadbir urus.
Mustapa menyatakan, penambahbaikan itu bertujuan mempertingkatkan perlindungan keselamatan sosial rakyat di setiap peringkat hayat mereka di samping memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada setiap warga Malaysia, dan memastikan tiada sesiapa pun yang dipinggirkan.
“Majlis Tindakan Ekonomi yang ditubuhkan pada 11 Mac 2020 merupakan badan tertinggi kepada kerajaan bertujuan mengenal pasti dan menganalisis perkembangan terkini ekonomi, mengumpul maklum balas serta mencadang dan melaksanakan langkah penyelesaian bagi menangani isu dan cabaran semasa ekonomi termasuk meningkat keyakinan pelabur tempatan dan luar negara.
“Ia memantau impak penularan wabak COVID-19 ke atas ekonomi serta merangka strategi yang bersesuaian bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi,” katanya.
Beliau menjelaskan, selaras dengan ciri Majlis Tindakan Ekonomi yang bersifat terbuka dan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak, sekretariat bersama majlis berkenaan di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan banyak sesi libat urus dengan pemegang taruh terutamanya sektor swasta untuk mengenal pasti isu yang dihadapi serta membincang secara terperinci pendekatan yang bersesuaian bagi menangani isu tersebut.
“Wakil sektor dalam sesi libat urus yang dilaksanakan termasuklah dewan perniagaan, persatuan, badan profesional serta pemain daripada 27 industri merentasi semua sektor seperti ekonomi digital, pendidikan, pelaburan, pembuatan, perusahaan kecil dan sederhana, pelancongan, pengangkutan dan kesihatan,” katanya.
Mustapa menambah, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan input daripada pihak industri, terutamanya berkaitan isu dan cabaran perdagangan dan pelaburan.
“Fokus kerajaan pada masa ini adalah memastikan pelaksanaan pelan pemulihan pasca COVID-19 untuk jangka pendek dan sederhana memberikan kesan positif serta merancakkan semula ekonomi negara termasuk peningkatan perbelanjaan isi rumah, pemulihan sektor pelancongan dan menggalakkan pelaburan,” jelasnya.
Beliau memberitahu, Pelan Jangka Panjang Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 pula sedang dirangka dan akan dibentangkan dalam masa terdekat. – Oleh HUSSAINI AMRAN