30 JUN: Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu.
Beliau menyatakan perkara tersebut dalam kenyataan melalui laman blog SallehSaid.com hari ini.
Sebulan sebelum itu, katanya, beliau meminta permohonan menyertai PKR ditangguhkan dahulu supaya dapat dengan rakan-rakan seperjuangan dan membincangkan hala tuju mereka di Sabah.
“Dengan pembatalan permohonan tersebut, saya kekal tidak berparti sejak saya keluar dari UMNO pada Disember 2018.
“Sepanjang tempoh itu saya mengambil masa untuk merenung kembali keputusan-keputusan yang telah saya buat terdahulu termasuklah untuk ikut keluar UMNO secara ‘en-bloc’ ,” jelasnya.
Mengimbau kembali, Salleh memberitahu, beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah telah meninggalkan parti pada 12 Disember 2018.
Pada waktu itu, beliau berpandangan, Sabah harus membina hubungan yang kukuh dengan kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun dan berdaya saing.
“Hampir setahun kemudian iaitu pada Oktober 2019 saya telah memohon untuk menyertai PKR.
“PKR adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan ketika itu, dan saya memilihnya demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan kerajaan Persekutuan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN