KPM pastikan tempoh pembelajaran 2020 mencukupi
1 JULAI: Kementerian Pendidikan akan memastikan pelajar mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi sebagai persediaan memasuki tahun berikutnya, dalam mengambil kira tarikh pembukaan sekolah 2021.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata tarikh pembukaan sekolah tahun depan juga perlu mengambil kira ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari depan.
Beliau berkata, pihaknya juga mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan itu, sebelum membuka semula sekolah tahun depan.
“Ini termasuklah memperinci tarikh permulaan sesi persekolahan 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar.
“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Radzi berkata pembukaan semula sesi persekolahan hanya membabitkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas, tiada sebarang aktiviti sukan, kokurikulum dan perhimpunan dibenarkan buat masa ini.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata pembukaan semula sekolah berasrama akan dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing serta mengambil kira penjarakan sosial.
Tambah, Mohd Radzi berkata bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama.
“Selepas mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan (KKM), secara umumnya, untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari bermula 24 Jun lalu.
“Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah,” katanya.