1 JULAI: Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk membenarkan kuliah dan solat dhuha diadakan di masjid serta surau.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelas mengaji dan fardu ain juga dibenarkan di masjid dan surau dengan syarat penjarakan sosial dipatuhi.
Menurut beliau, kuliah dan solat dhuha serta kelas mengaji dan fardu ain boleh diadakan bermula minggu ini.
“Kebenaran ini juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan serta mengikut saiz dan kapasiti masjid dan surau.
“Masjid dan surau juga diberi kebenaran untuk mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat tertakluk kepada SOP yang ditetapkan bermula Jumaat ini iaitu 3 Julai 2020,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meneliti pembentangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan pembukaan institusi pengajian tinggi (IPT) serta SOP bagi kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa.
“Mesyuarat Khas telah bersetuju dengan pembentangan KPT dan pihak KPT akan mengumumkan SOP terperinci serta tarikh pembukaan IPT,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN