1 JULAI: Letupan di sebuah klinik di utara Tehran, Iran mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang hari ini.
Menurut agensi berita Iran, yang memetik sumber khidmat perubatan kecemasan (EMS), letupan di pusat kesihatan Sina At’har itu disusuli kebakaran dan unit perubatan dikerah ke sana.
“Setakat ini, 19 mangsa disahkan maut dan ramai lagi yang cedera sudah dipindahkan ke sebuah hospital,” katanya.
Ketua Polis Tehran, Hossein Rahimi pula dilaporkan berkata, kebanyakan mangsa terbabit adalah wanita.
Menurut jurucakap jabatan bomba Tehran, Jalal Maleki, letupan berlaku akibat tong gas di ruang bawah tanah terbakar.
“Ada antara mangsa berada di tingkat atas dalam bilik pembedahan termasuk pesakit dan anggota keluarga yang menemani mereka.
“Malangnya, mereka kehilangan nyawa akibat haba yang tinggi dan asap tebal. Api berjaya dipadamkan selepas dua jam,” katanya.
Tragedi itu berlaku empat hari selepas letupan berdekatan kompleks tentera yang menggegarkan ibu negara Iran itu.
Kementerian Pertahanan Iran berkata ia berlaku di Parchin, kawasan di timur laut Tehran, juga akibat kebocoran tangki gas tetapi tiada mangsa dilaporkan.
Parchin sudah lama disyaki menjadi pusat ujian kuasa nuklear walaupun dinafikan pihak berkuasa Iran.
Ia pernah di periksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IAEA) pada 2015.
Iran tidak membenarkan IAEA memasuki kawasan itu tetapi ketua agensi terbabit ketika itu, mendiang Yukiya Amano, difahamkan pernah melawatnya.