1 JULAI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia menerima permohonan daripada majikan untuk insentif pengambilan pekerja di bawah Program Penjana Kerjaya yang telah dibuka pada hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya menggesa semua majikan yang mempunyai kekosongan jawatan menggunakan platform ini yang disediakan kerajaan bagi memperolehi insentif pengambilan pekerja tempatan.
Menurutnya, bagi pencari kerja pula akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai melalui program ini di mana insentif ini akan meningkatkan pewujudan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.
“Program Insentif Pengambilan Pekerja yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun 2020 menawarkan insentif kewangan kepada majikan antara RM600 dan RM1,000 bagi seorang pekerja atau perantis yang diambil bekerja, sehingga tempoh 6 bulan.
“Pendaftaran profil majikan dan pencari kerja di bawah PenjanaKerjaya, yang diuruskan oleh PERKESO, telah bermula pada 15 Jun 2020.
Sejak 15 Jun hingga 30 Jun 2020, portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara PERKESO, MYFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my) mencatatkan purata harian 3,088 pencari kerja dan 2,692 kekosongan jawatan.
“Ini menjadikan jumlah terkumpul sebanyak lebih daripada 113,300 pencari kerja dan hampir 95,400 kekosongan aktif (jawatan sedia untuk diisi) yang direkodkan oleh MYFutureJobs, “katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Saravanan memberitahu Insentif pengambilan pekerja ini merangkumi bantuan kewangan untuk majikan yang menggajikan lepasan sekolah, siswazah, penganggur dan pekerja yang diberhentikan kerja serta perantis.
Dalam pada itu, menurut beliau, di bawah skim MYApprentice, majikan layak mendapat insentif pengambilan sebanyak RM600 seorang jika menggajikan perantis.
“Bagi skim HireMalaysia, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.
“Manakala mereka yang menggajikan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau Orang Kelainan Upaya (OKU) layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja. Semua insentif ini akan diberikan selama 6 bulan kepada majikan yang layak,” katanya.
Tambah beliau, majikan juga memperoleh manfaat pekerja mahir sekiranya pengambilan dilakukan melalui PenjanaKerjaya kerana pekerja-pekerja ini boleh dihantar bagi mengikuti kursus kemahiran dan peningkatan kemahiran.
“Antara kursus yang disediakan adalah IR 4.0, Cloud Computing, Cyber Security, Machine Learning, Logistics, Manufacturing, Construction, Hospitality, Sales and Marketing. Banyak lagi kursus yang akan ditawarkan oleh program ini dari semasa ke semasa.
“Bagi pencari kerja yang perlu berpindah untuk menerima tawaran pekerjaan di bawah PenjanaKerjaya, mereka akan diberikan Bantuan Mobiliti antara RM600 hingga RM1,000.
“Permohonan insentif di bawah program ini dibuka hari ini melalui Sistem PenjanaKerjaya, www.penjanakerjaya.perkeso.gov.my atau sebarang bantuan dan pertanyaan lanjut, pencari kerja dan majikan boleh hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau menghubungi 1 300 22 8000 atau 03-8091 5300,” katanya. -AIMAN SADIQ ABDULLAH