1 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan Kempen Kesedaran COVID-19 di seluruh negara yang dijadualkan berlangsung sebelum hujung bulan ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kempen tersebut bertujuan menerapkan budaya norma baharu serta kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menurut beliau, bagi memberi peluang dan ruang kepada semua rakyat Malaysia di dalam atau luar negara untuk menzahirkan kreativiti mereka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga akan menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Kesedaran COVID-19.
“Pertandingan ini dibuka mulai hari ini, 1 Julai 2020 (Rabu) hingga 10 Julai 2020 (Jumaat) sebelum pukul 12 tengah malam dan semua rakyat Malaysia layak untuk menyertai pertandingan ini.
“Hadiah bagi pemenang tempat pertama adalah wang tunai RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000.Hadiah akan disampaikan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Untuk penyertaan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati dari laman sesawang KKMM di www.kkmm.gov.my atau laman sesawang Jabatan Penerangan di www. penerangan.gov.my. – Oleh HUSSAINI AMRAN