Sekolah dibuka berperingkat mulai 15 Julai
1 JULAI: Operasi sekolah menengah bagi pelajar tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan murid tahun 5 serta 6 di sekolah rendah, akan bermula pada 15 Julai ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga tahun empat pula adalah pada 22 Julai ini.
“Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.
“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengenai kemasukan murid tingkatan 6 semester 1 tahun 2020, Mohd Radzi berkata, keputusan penawaran kemasukan calon lepasan SPM 2019 ke tingkatan 6 semester 1 tahun 2020 boleh disemak mulai hari ini melalui portal Kementerian Pendidikan dan murid akan mendaftar pada hari Rabu, 15 Julai 2020.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pendidikan ingin memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat yang berdaftar dengan kementerian boleh dibuka semula pada hari Rabu, 15 Julai 2020.
Terdahulu, Mohd Radzi berkata, Kementerian mengenal pasti tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing iaitu Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran.
Beliau berkata, Model Satu Sesi adalah bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, selepas mengambil kira penjarakan sosial.
“Model kedua iaitu Model Dua Sesi adalah bagi sekolah sedia ada yang sudah beroperasi secara dua sesi atau pun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
“Model ketiga iaitu Model Penggiliran adalah sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.
“Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi,” jelasnya.
Mohd Radzi memberitahu, penularan COVID-19 menyebabkan sekolah terpaksa ditutup selama hampir empat bulan di mana seramai lebih 5.7 juta orang murid tidak dapat hadir ke sekolah.
Katanya, dalam usaha memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
secara dalam talian atau kaedah lain yang bersesuaian telah dilaksanakan dalam tempoh tersebut.
Sehubungan itu, Mohd Radzi mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru atas kesungguhan melaksanakan tanggungjawab dan juga ibu
bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak mereka dalam menghadapi situasi yang sukar ini. – OLEH HAIKA KHAZI