1 JULAI: Bekas Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, penahanan Jeffrey, 52, ada kaitan dengan skandal rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang melibatkan dana RM6.3 bilion.
Perintah reman terhadap bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi selepas membenarkan permohonan SPRM Pulau Pinang.
Jeffrey ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown pada pukul 2 petang semalam.
Beliau dilihat hadir dengan diiringi peguam yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Sebelum itu, kira-kira 50 pemimpin dan ahli DAP Pulau Pinang hadir di pekarangan Balai Polis Bayan Baru untuk memberi sokongan terhadap Jeffrey.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.