1 JULAI: Adalah tidak adil bagi pihak tertentu untuk menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengambil sebarang tindakan berhubung skandal terowong dasar laut Pulau Pinang semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, siasatan skandal membabitkan dana RM6.3 bilion itu telah dimulakan sejak Julai 2017.
“Hasil dari siasatan bagi kertas pertama bulan Julai 2017, lima lagi kertas siasatan baru dibuka pada bulan Januari 2018 namun kesemua siasatan tak sempat siap sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Setelah PRU-14, kertas-kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara di bawah (Tan Sri) Tommy Thomas. Ada yang dihantar balik kepada SPRM untuk siasatan tambahan dan ada kertas siasatan yang tersangkut di Pejabat Peguam Negara tanpa apa-apa tindakan lanjut, ” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Beliau yang juga bekas Presiden UMNO memberitahu, setelah SPRM mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan terowong itu pada Mac 2019, Ketua Pesuruhjaya SPRM diganti dengan lantikan politik Latheefa Koya dari Pakatan Harapan (PH) pada bulan Jun 2019.
Namun, Najib menambah, Latheefa membidas mereka yang bertanya tentang skandal terowong pada September tahun lalu dengan mengatakan dirinya tidak boleh mendedahkan apa-apa kerana siasatan masih dijalankan.
“Pada bulan Mac 2020 pula, kerajaan PN ambil alih dan Latheefa letak jawatan. Bulan April dan Mei pula adalah tempoh Perintah Kawalan Pergeraka (PKP).
“Bulan Jun, siasatan terowong aktif kembali dan sebab itu, bekas pegawai khas Lim Guan Eng, Jeffery Chew ditahan SPRM semalam,” jelasnya.
Tambah beliau, SPRM juga turut mengambil tindakan dengan menyerbu syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kes terowong tersebut.
“Tak usah nak bidas SPRM atau kecam kerajaan BN atau PN kenapa lambat bertindak untuk kes terowong. Lebih elok untuk tanya Tommy dan Latheefa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH