15 premis perniagaan tak patuh SOP PKPP
2 JULAI: Sebanyak 15 premis perniagaan diberi nasihat oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,885 premis diperiksa bagi memastikan pematuhan SOP PKPP semalam.
“Penguat kuasa KPDNHEP juga telah membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 815 premis perniagaan termasuk 612 peruncit, 173 pemborong dan 30 pengilang.
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga telah membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.
Sementara itu Ismail Sabri memberitahu, mulai 10 Jun lalu hingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat saringan ke atas 8,535 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Daripada jumlah ini, 8,498 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.
“37 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” jelasnya.
Beliau berkata, seramai 724 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air semalam melalui KLIA dan KLIA2 dari Vietnam, Indonesia, Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.
“Daripada jumlah itu, 723 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang individu dibawa ke hospital,” jelasnya.
Ismail Sabri menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 1,063 pemantauan pematuhan SOP home quarantine dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Walau bagaimanapun, 620 individu masih belum menjalani ujian saringan kali kedua. Kerajaan memohon kerjasama individu yang terlibat untuk menjalani ujian saringan COVID-
19 kali kedua,” ujarnya.
Menurut beliau, mereka boleh menghubungi Kementerian Kesihatan untuk maklumat lanjut dan PDRM akan mengambil tindakan jika mereka gagal berbuat demikian. – Oleh HUSSAINI AMRAN