Kementerian Wilayah Persekutuan bersedia membuka pintu kepada peniaga dan penjaja untuk mendapatkan kemudahan seperti lesen dan lokasi yang sesuai di ibu kota.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa mahu menggunakan pendekatan sedia berunding sebagai usaha memastikan golongan itu menjalankan aktiviti perniagaan secara tersusun.
Beliau juga telah memaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mempermudahkan pengeluaran lesen di samping berusaha agar peniaga dan penjaja yang tulen sahaja berniaga tanpa wujud kartel yang memberi keuntungan sebelah pihak.
“Namun, mereka perlu ingat, pemberian lesen bukan bermakna mereka bebas atau boleh buat apa sahaja. Mereka perlu mematuhi peraturan dan pra syarat ditetapkan DBKL seperti penjagaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Selain itu, SOP DBKL pun mereka perlu patuh seperti kebersihan, susun atur gerai, kesihatan, memakai apron, sarung tangan dan kebersihan,” katanya kepada media selepas menyampaikan lesen sementara kepada 97 penjaja di Jalan Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur, hari ini.
Annuar memberitahu, dalam tinjauannya ke kawasan itu hampir dua minggu lalu, beliau mendengar masalah dibangkitkan peniaga dan bersetuju memproses lesen sementara kepada mereka.
“Kira-kira 10 hari lalu saya datang ke sini, saya puas hati dengan aktiviti perniagaan yang kebanyakan mereka belum ada lesen. Ada peniaga sudah lama berniaga dan ada yang baru memulakan selepas PKP.
“Tak apalah, sebab mereka hendak cari rezeki dan DBKL permudahkan pemberian lesen sementara ini untuk tempoh tiga hingga enam bulan.
“Saya harap tidak wujud kartel yang akan ambil kesempatan ini sehingga penjaja terpaksa membayar lebih untuk lesen mereka. Kita hanya kenakan pembayaran token atau yuran RM20 sahaja sebulan,” katanya.
Jelasnya, beliau mendapat tahu, ada peniaga dan penjaja menjual tapak niaga termasuk lesen kepada pihak lain dan perbuatan itu tidak baik.
Annuar menambah, penjaja di Taman Setapak Indah adalah yang pertama diberi kelonggaran oleh kementeriannya dalam jumlah pemohon yang ramai.
Beliau turut mengingatkan penjaja, apa yang disediakan oleh kementerian tidak boleh dianggap percuma, sebaliknya jika ada perkara berbangkit perlu jumpa DBKL untuk berunding.
“Saya ambil sikap terbuka untuk berunding, jangan pandai-pandai buka gerai di tempat yang mengundang masalah kepada pengguna lain hingga berlaku kesesakan.
“Kalau tempat itu sesuai, datang runding dengan DBKL, kita datang tengok dan kalau elok, kita bagi mereka berniaga dan buat lesen. Ini selaras dengan konsep Wilayah Prihatin. Kita cari jalan bagaimana hendak permudahkan mereka berniaga,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH