2 JULAI: Setelah agak sekian lama, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang dirawat di hospital kini mencatatkan bawah 100 pesakit apabila 62 orang lagi dibenarkan discaj setelah disahkan pulih sepenuhnya setakat tengah hari ini.
Ini menjadikan kes aktif COVID-19 di negara ini berjumlah 85 orang dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Walaubagaimanapun menurut Kementerian Kesihatan, kes penularan COVID-19 dalam negara mencatatkan dua kes hari ini, setelah merekodkan sifar kes buat kali pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan lebih tiga bulan lalu.
Selain dua kes tempatan, Kementerian Kesihatan turut melaporkan terdapat satu kes import yang menjadikan tiga kes positif keseluruhannya – satu angka yang telah diunjurkan pihak berkuasa sehingga pertengahan bulan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia melibatkan satu kes kluster Bukit Bintang dan satu lagi saringan di lokap Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, punca jangkitan masih dalam siasatan pihak berkuasa manakala kes import melibatkan seorang rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini dengan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,437 kes atau bersamaan 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga, Noor Hisham terus menggesa rakyat Malaysia mengamalkan nasihat kesihatan yang dikeluarkan sebelum ini bagi memastikan tidak berlaku peningkatan kes COVID-19. -M. HERMAN HAMID