2 JULAI: Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik sedia ada sehingga 31 Disember 2020 untuk semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan keputusan itu, seramai 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati diskaun bil elektrik di antara 2% hingga 50% dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020.
Menurut beliau, ia adalah sebagai lanjutan kepada diskaun elektrik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassinpada 27 Mac 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
“Pelanjutan ini turut terpakai bagi pengguna elektrik dengan penggunaan di antara 601 hingga 900kWj yang mula mendapat diskaun 10% di bawah Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diumumkan oleh Kerajaan pada 20 Jun 2020.
“Pengguna domestik di Sabah dan Sarawak pula akan terus menerima diskaun bil elektrik sebanyak 2% sehingga 31 Disember 2020 yang akan memanfaatkan sekitar 520,000 pengguna di Sabah dan 580,000 pengguna di Sarawak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shamsul Anuar menambah, pelanjutan diskaun selama tiga bulan bagi pengguna-pengguna di Semenanjung Malaysia akan dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dengan anggaran sebanyak RM392 juta.
Beliau menyatakan, manakala diskaun bagi Sabah dan Sarawak akan dibiayai oleh Kementerian Kewangan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM6 juta.
“Ini menjadikan kos keseluruhan pemberian diskaun bil elektrik dari April hingga Disember 2020 adalah berjumlah RM2.62 bilion,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN