3 JULAI: Muafakat Nasional (MN) bersetuju untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu telah pun diputuskan dalam Mesyuarat Bersama MN, baru-baru ini.
“Untuk PRU, secara prinsip kedua dua parti bersetuju menamakan atau menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.
“Dalam mesyuarat bersama MN, kita dah bincangkan perkara itu pada peringkat jawatankuasa dan kita akan terus beri sokongan kepada Muhyiddin yang merupakan anggota kepada gabungan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Permit Sementara Waktu Terhad PKPP di Setapak Indah, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, PAS hari ini menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS turut menyokong permuafakatan politik Perikatan Nasional (PN) demi kesejahteraan negara dan rakyat.
Semalam, pada pertemuan antara ketua parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) diadakan di Putrajaya bagi menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin.
Mereka juga bersepakat memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH