2 JULAI: Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) layak untuk menerima bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, tuntutan itu boleh dilakukan melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut beliau, penerima BSH juga secara automatik mendapat skim MySalam, yang merupakan skim perlindungan sosial kesihatan bagi meringankan beban perubatan ditanggung sekiranya dikenal pasti mempunyai antara 45 jenis penyakit kritikal.
”Antara faedah perlindungan ialah RM8,000 akan dibayar kepada mereka yang didiagnosis oleh hospital dan pusat perubatan bertauliah bagi 45 jenis penyakit kritikal.
“Mereka juga berhak dilindungi apabila dimasukkan ke hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari sebagai meringankan beban kewangan semasa sakit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Rahim memberitahu penerima BSH di luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak perlu mendapat maklumat mengenai pelbagai lagi faedah sampingan daripada kerajaan Persekutuan yang boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban.
Beliau menambah, masih ramai penduduk layak di kawasan berkenaan belum menerima bantuan BSH terutama bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank.
“Justeru, Kementerian Kewangan akan melaksanakan beberapa kaedah baharu bagi menyampaikan bantuan tunai kepada penduduk di kawasan terbabit, selain program turun padang dilakukan oleh Jabatan Perbendaharaan dan LHDN.
“Ini termasuk menambah kiosk mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional serta melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen BSN sebagai kemudahan penduduk luar bandar, katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH