2 JULAI: Walaupun Perikatan Nasional (PN) sebuah gabungan politik yang baru, namun kesemua ketua parti yang hadir dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mencapai persetujuan memastikan tidak berlaku pertembungan dengan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri (PRN) itu kelak.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr. James Masing berkata, ini termasuk Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah memberi jaminan tidak akan meletakkan calon dalam PRN Sarawak akan datang meskipun mempunyai cawangan di negeri itu.
“Jaminan ini bukan sahaja mengesahkan laluan untuk GPS bertembung satu lawan satu dengan pembangkang (terutama DAP dan PKR) tetapi satu petunjuk baik kepada PN.
“Petunjuk yang parti-parti membentuk PN menghormati komitmen untuk membantu GPS bila mana PRN Sarawak Ke-12 diadakan nanti,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
GPS terdiri daripada gabungan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera (PBB), PRS, SUPP dan Parti Demokratik Penduduk (PDP).
Masing memaklumkan Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberitahu dalam mesyuarat semalam yang PRN Sarawak mungkin tidak lama lagi dan gabungan itu sudah bersiap sedia sepenuhnya.
Tambahnya, keempat-empat parti yang membentuk GPS bersedia untuk berdepan pembangkang Sarawak yang terdiri daripada DAP, PKR, Parti Sarawak Bersatu dan sebagainya.
“GPS pada masa sama dalam pertemuan semalam seperti dinyatakan Abang Johari telah memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk untuk menerajui PN dalam berdepan PRU-15 seterusnya sebagai Perdana Menteri,” jelasnya.