2 JULAI: Soal politik dan persiapan pilihan raya umum diakui menjadi antara topik perbincangan dalam pertemuan 12 ketua-ketua parti Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya semalam.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, namun perkara yang lebih penting semalam adalah bagi merapatkan saf untuk memastikan hala tuju bersama PN dan seterusnya mengukuhkan dokongan kepada kerajaan PN.
Katanya, memandangkan pertemuan tersebut melibatkan pemimpin parti, sudah tentu soal politik dan pilihan raya umum antara yang disentuh tetapi perkara itu tidaklah dibincang secara mendalam.
“Dah nama kita parti politik, sudah tentu hal-hal berkaitan politik semasa dibincangkan termasuklah persiapan pilihan raya umum.
“Yang kita bagi perhatian semalam soal dokongan, hala tuju bersama. Ini bagi kita merapatkan saf,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC hari ini.
Ditanya apakah perbincangan semalam menyentuh soal pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ka Siong berkata, pertemuan semalam terlalu singkat untuk bincang hal itu.
“Pertemuan dua jam sahaja, lagi pun ada 12 ketua-ketua parti politik. Perdana Menteri bagi perutusan beliau, kemudian setiap seorang cakap sikit, maka takkanlah dibincangkan hal tersebut (pembahagian kerusi).
“Lagi pun bila PRU-15?,” katanya sambil ketawa kecil.
Semalam berlangsung pertemuan 12 ketua-ketua parti PN bersama Perdana Menteri di Putrajaya ketika sesetengah pihak terus menyebarkan spekulasi mengenai kedudukan perikatan tersebut.
Dalam pertemuan itu, semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri serta bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Selain Muhyiddin (Bersatu), kesemua Presiden-Presiden parti yang hadir terdiri daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS), Datuk Seri Wee Ka Siong (MCA), Tan Sri S.A Vigneswaran (MIC) dan Datuk Patinggi Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg (PBB).
Hadir sama, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian (SUPP), Datuk Seri Tiong King Sing (PDP), Tan Sri Amar Dr. James Jemut Masing (PRS), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (PBS), Tan Sri Joseph Kurup (PBRS) dan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (PBRS).
Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan PN dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung Bersatu. /M. HERMAN HAMID