3 JULAI: Ketiga-tiga saksi yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini mengakui cuma mengenali Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui media dan mereka tidak pernah berurusan dengannya.
Datuk Hashim Othman dan Datuk Paul Latimer, kedua-duanya dari syarikat pembinaan serta Chong Chien Ming dari MyEG mengakui demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.
Hashim berkata dia juga tidak mengenali Omar Ali kerana semua urusan pinjaman dan pembayaran kepada Omar Ali dibuat menerusi penasihat syarikat, Lee Fook Kheun.
Menurut Hashim pembayaran balik pinjaman kepada Omar dibuat kepada Tetuan Lewis & Co atas permintaan Omar sendiri.
Katanya semua bentuk pembayaran mempunyai bukti dalam bentuk slip bank, bankers cheque dan kiriman wang.
Katanya lagi, syarikatnya tidak pernah mempunyai apa-apa urusan perniagaan dengan Lewis & Co.
Ditanya oleh peguambela, Hamidi Mohd Noh tujuan pinjaman dibuat, Hashim mengatakan ia berpunca daripada kesukaran syarikat mendapatkan bantuan kewangan untuk aliran tunai.
“Saya buat projek pembinaan. Ada masanya dapat bayaran lambat. Pada masa itu projek sudahpun berjalan. Dari semasa ke semasa kita memerlukan wang tunai untuk bayar pekerja dan lain-lain.
“Dalam sektor pembinaan kita kena pinjam duit untuk pastikan projek berjalan lancar. Untuk itu saya minta bantuan Mr Lee mendapatkan pinjaman,” katanya.
Ditanya mengapa tidak meminjam bank, Hashim menjelaskan prosesnya lambat dan dia harus pastikan aliran tunai tidak tergendala.
Hashim turut ditanya sama ada dia tahu punca duit pinjaman itu.
“Pada saya bila pinjam, kena bayar. Saya nakkan wang untuk meneruskan projek. Lebih daripada itu saya tak tahu. Tugas saya ialah untuk pastikan projek berjaya,” jawabnya.
Hashim memberitahu mahkamah dia tidak kenal Lewis & Co.
Ditanya sama ada dia mengenali Zahid, Hashim menjawab, “kenal melalui TV.”
Ditanya sama ada dia pernah berurusan dengan Zahid, dia menjawab, “tidak.”
Menjawab soalan peguambela, Datuk Ahmad Zaidi Zainal Omar sama ada dia mempercayai Lee, Hashim mengatakan ya. Dia juga bersetuju semua pinjaman dan bayaran balik (termasuk caj servis) dibuat oleh Lee dan direkodkan.
Ahmad Zaidi bertanya sama ada apa yang direkodkan menunjukkan tidak ada apa yang terselindung dan tiada yang menyalahi undang-undang.
“Tak ada yang terselindung dan menyalahi undang-undang. Ia cuma friendly loan.”
“Saya tak perlu tahu bagaimana dia (Lee) dapat duit itu. Yang saya tahu bila saya pinjam, saya bayar. Bagi saya pinjaman dari Lee ialah friendly loan antara saya dengan kawan. Bagaimana dia dapat duit itu bukan urusan saya.”
Dia turut ditanya sama ada dia tahu mengenai pinjaman yang dibuat.
“Syarikat ada akauntan. Semua diaudit. Saya tahu semua urusan semua “documented”
Saksi kedua hari ini, Paul pula memaklumkan perkenalannya dengan Omar Ali bermula pada tahun 2015 di sekitar Bukit Bintang Kuala Lumpur.
“Saya pernah bersama beliau duduk semeja dan beliau memperkenalkan diri beliau sebagai pengurup wang berlesen.”
Menurut Paul cek di atas nama Lewis & Co berjumlah RM447,773.42 bertarikh 29 Mac 2016 milik syarikat Cergas Murni Sdn Bhd dikeluarkan bagi tujuan pembayaran penyelesaian masalah semasa Projek membina Jambatan ke-3 Klang, Selangor dijalankan pada tahun 2014.
Diminta menjelaskan apa dimaksudkan dengan “penyelesaian masalah” Paul berkata ia mengenai dengan gengster yang menuntut wang perlindungan.
Katanya jumlah itu bukan kesemuanya digunakan untuk membayar gengster tetapi juga perbelanjaan lain berhubung projek pembinaan.
Ditanya sama ada dia tahu dari mana wang itu diperolehi, Paul berkata dia tidak tahu. Katanya, apa yang penting baginya ialah wang.
Dia berkata keputusan meminjam dari Omar Ali diputuskan oleh Mohd Shariff.
Paul juga menyatakan dia tidak pernah berurusan dengan Lewis and Co dan hanya mengenali Zahid melalui surat khabar dan TV. Dia juga mengakui tidak pernah berurusan dengan Zahid.
Dia juga bersetuju semua urusan pinjaman dan bayaran balik adalah direkodkan, tidak menyalahi undang-undang dan tidak ada kena mengena dengan Zahid.
Omar juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa syarikat Cergas Murni juga tidak terlibat dalam money laundering.
Saksi ketiga yang memberi keterangan hari ini ialah Chong Chien Ming yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Kewangan MyE.G Services Berhad (MYEG) memberitahu mahkamah dia tidak mengenali Tetuan Messrs Lewis & Co. Dia juga tidak pernah mengenali dan berurusan dengan Zahid.
“Saya hanya kenal Zahid melalui media,” katanya.
Perbicaraan disambung pada 14 Julai ini. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL