3 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan solat Jumaat diadakan di surau dan dewan yang bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah berkenaan.
Perkenan Seri Paduka disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan turut membenarkan penggunaan secara maksimum ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada untuk tujuan sama.
“Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan titah perkenan kepada resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-7 yang bersidang pada 24 Jun 2020.
“Dalam melaksanakan perkara ini, pihak berkaitan hendaklah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) terkini yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya .
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerajaan juga sudah menbenarkan program majlis ilmu diadakan di semua surau dan masjid seperti biasa mulai minggu ini.
“Semua majlis ilmu yang lazim diadakan di masjid, surau Jumaat dan surau seperti kuliah subuh, zohor, asar, maghrib, dhuha, kelas fardu ain, pengajian al-Quran dan lain-lain boleh diadakan bermula minggu ini dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan berdasarkan keluasan masjid, surau Jumaat atau surau,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli juga mencadangkan, supaya masjid atau surau tidak dikunci selain daripada waktu solat bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat.
“Bagi pelaksanaan solat berjemaah, pagar masjid, surau Jumaat dan surau juga disarankan untuk tidak dikunci pada waktu selain daripada waktu solat sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP sebelum ini.
“Ini bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat terutama mereka yang bermusafir, penghantar makanan, barangan dan pemandu e-hailing,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Zulkifli turut menyeru semua umat Islam untuk sama-sama kembali mengimarahkan masjid, surau Jumaat dan surau. – Oleh HAIKA KHAZI