3 JULAI: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah kes positif baharu COVID-19 tertinggi dalam tempoh sehari dengan lebih 55,000 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Semalam, 55,274 kes baru COVID-19 dilaporkan di seluruh negara itu, mengatasi rekod sebelum ini yang dilaporkan di Brazil pada 19 Jun lalu dengan 54,771 kes.
Memetik laporan agensi berita, jangkitan pandemik itu meningkat di AS dengan kes jangkitan tertinggi dilaporkan dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Universiti John Hopkins melaporkan 649 kematian direkodkan lagi semalam, menjadikan jumlah kematian di AS setakat ini seramai 128,677 orang.
Dua minggu lalu, jumlah jangkitan kes COVID-19 di AS adalah sebanyak 20,000 kes sehari, namun akibat kelemahan mematuhi penjarakan sosial menyebabkan jumlahnya kian bertambah saban hari.
Malah, pakar kesihatan awam terkemuka AS, Dr. Anthony Fauci kelmarin memberi amaran negara itu mungkin mencatatkan sehingga 100,000 kes sehari jika tiada perubahan sikap dalam kalangan penduduknya.
Beberapa negeri juga mula menyeru penduduk supaya memakai pelitup muka di tempat awam selain menggalakkan mereka untuk duduk di rumah.