3 JULAI: Kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan (MTPNg) Negeri Selangor yang dipengerusikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menimbulkan persoalan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar bertanya sama perkara itu membayangkan Amirudin kini menyertai PN.
“Saya musykil dan ingin bertanya. Adakah Menteri Besar Selangor kini telah menyertai kerajaan PN?” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Beliau mengulas tentang perkongsian Mohd Azmin dalam Twitter tentang mesyuarat tersebut di Shah Alam, 19 Jun lalu.
Pada masa yang sama, beliau berharap agar wakil rakyat PN turut dijemput bagi membincangkan aspek pembangunan di Selangor.
Noh juga bersedia berkongsi pengalamannya selama dua penggal sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor.
“Tentunya Muafakat Nasional boleh menyumbang untuk mengukuhkan PN di Selangor.
“Sebab jika Selangor menjadi milik PN ia tentunya adalah lebih baik untuk rakyat Selangor,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH