3 JULAI: Seorang wanita berusia 50 tahun yang bertugas sebagai penolong pengarah Jabatan Imigresen Johor ditahan polis kelmarin, dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu pegawai itu ditahan di pejabatnya tengah hari kelmarin oleh Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Menurut beliau, pegawai kanan Jabatan Imigresen itu ditahan hasil siasatan ke atas tiga pegawai imigresen yang ditahan pada 24 Jun lalu berikutan bersekongkol dengan sindiket PATI.
“Ini adalah tangkapan pegawai kanan paling tinggi setakat ini yang terbabit dalam rangkaian sindiket PATI di Johor, sejak operasi besar-besaran mengekang aktiviti haram itu dilancarkan.
“Modus operandi yang digunakan pegawai kanan wanita terbabit adalah dengan menyediakan cop Jabatan Imigresen Malaysia yang disyaki palsu bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang tamat tempoh Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Dia juga disyaki aktif melakukan kesalahan ini sejak sebelum PKP dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Terdahulu, polis menahan 40 suspek utama pada 4 Jun lalu yang menjadi dalang penyeludupan migran di pantai timur Johor melibatkan ejen mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.
Susulan itu seramai 23 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan bermula 13 hingga 18 Jun, 23 dan 25 Jun.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pegawai kanan Jabatan Imigresen itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menurut beliau, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007).
“Setakat ini, polis Johor sudah menahan seramai 23 penjawat awam serta anggota penguat kuasa termasuk membabitkan pegawai berikutan terbabit sindiket PATI di Pantai Timur Johor.
“Polis Johor akan terus memperhebatkan operasi mengesan sesiapa juga yang terbabit dalam sindiket PATI tanpa mengira apa jawatan mereka,” katanya.