3 JULAI: Dua buah syarikat korporat terkemuka, Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) dan Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) menyampaikan sumbangan masing-masing bernilai RM1.5 juta dan RM300,000 dalam berbentuk barangan dan kelengkapan perubatan untuk kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan.
Sumbangan berkenaan diterima Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengasas Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin Charity Golf (TSMYCG).
Yayasan amal tersebut kemudian akan mengagihkannya kepada hospital dan jabatan kesihatan yang dikenal pasti.
Dalam catatan di Facebook Perdana Menteri hari ini, Muhyiddin memaklumkan, sumbangan kedua-dua syarikat itu antaranya melibatkan mesin ultrasound, ventilator dan kelengkapan perubatan lain.
“Selaku Pengasas TSMYCG, saya berbesar hati menerima sumbangan ini. Yayasan amal ini akan mengagihkan kelengkapan perubatan tersebut kepada hospital dan jabatan kesihatan yang telah dikenal pasti oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tropicana Group, Tan Sri Dato’ Tan Chee Sing dan Pengasas/Pengerusi Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai kerana menyokong usaha melawan wabak Covid-19 ini,” katanya.