3 JULAI: Permohonan rayuan pihak timbalan pendakwa raya untuk terus membekukan akaun bank milik UMNO, Wanita MCA dan dua syarikat yang berkaitan dengan kes 1MDB ditolak Mahkamah Rayuan hari ini.
Panel tiga orang hakim yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam membuat keputusan tersebut setelah mendengar penghujahan peguam yang mewakili lima pihak terlibat.
Semasa membacakan penghakiman tersebut, Yaacob berkata, setelah mempertimbangkan penghujahan, kertas kausa dan kes-kes rujukan, panel hakim mendapati pihak pemohon gagal memperlihatkan keadaan khas yang membolehkan mahkamah ini menggunakan kuasa budi bicara untuk memberi penangguhan kepada keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Menurut Yaacob, hanya kerana menggunakan hujah kekhuatiran, pemohon tidak boleh menjadikan ia sebagai keadaan khas yang memerlukan penangguhan berkenaan diberikan.
“Oleh itu permohonan ini ditolak,” katanya lagi.
Pada Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak harta sebanyak RM192 juta daripada UMNO, RM300,000 daripada Wanita MCA, Perano Sdn Bhd (RM337,634.78) dan Binsabi Sdn Bhd (RM827,250).
Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Jabatan Peguam Negara membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah penangguhan sementara menunggu rayuan mereka terhadap kes tersebut.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak pada 19 Jun.
Yaacob, bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan, juga berkata, SPRM tidak memfailkan afidavit untuk mematahkan hujah responden bahawa mereka boleh memulangkan wang itu sekiranya Mahkamah Rayuan terbalikkan dapatan Mahkamah Tinggi.
Rayuan ditetapkan pada 25 Ogos.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor berkata, permohonan sementara menunggu rayuan itu harus dibenarkan atas alasan kepentingan awam.
“Tidak ada jaminan mereka berempat akan memulangkannya sekiranya rayuan kami berjaya,” katanya.
Bagaimanapun, peguam UMNO, Hariharan Tara Singh berkata, kebimbangan SPRM itu tidak berasas kerana UMNO masih mampu bayar termasuk mempunyai aset yang mengatasi liabiliti.
“UMNO pemilik bangunan PWTC yang bernilai RM450 juta,” katanya.
Peguam untuk tiga responden lain itu juga berpendirian sama.
Hariharan kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau berharap Bank CIMB akan menarik balik pembekuan ke atas akaun UMNO susulan perintah mahkamah hari ini.
“Saya berharap peguam bank itu yang berada di mahkamah hari ini akan menasihati mereka berbuat demikian,” katanya dan menambah wang itu dibekukan sejak 28 Mei tahun lepas.
Pada 19 Jun, responden berjaya mendapatkan kembali RM194 juta yang dirampas selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan.
SPRM membekukan akaun bank mereka untuk melucutkan hak ke atas wang yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini menolak permohonan timbalan pendakwa raya untuk menggantung perintah memulangkan wang itu.
Pada Februari lalu, Mohamed Zaini menolak permohonan timbalan pendakwa raya untuk menyita wang itu selepas memutuskan wang itu bukan hasil haram daripada 1MDB.
Permohonan itu mahu melucutkan hak UMNO ke atas RM192,965,413.61 manakala terhadap Wanita MCA, RM300,000.
Permohonan terhadap Perano Sdn Bhd, yang menjual hijab, dan Binsabi Sdn Bhd, yang menjual khemah, masing-masing RM337,634.78 dan RM827,250.
Mereka juga didakwa terima wang daripada Najib.
Kerajaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap empat entiti itu bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.