3 JULAI: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijadualkan di Parlimen pada 6 Ogos ini ditunda kepada Januari tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perubahan tarikh itu untuk membolehkan RMK-12 dikaji semula ekoran kesan ekonomi dunia akibat penularan wabak COVID-19.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, tarikh baharu untuk pembentangan RMK-12 belum ditetapkan lagi.
“Perubahan disebabkan COVID-19 itu sudah pasti (wujud), kita perlu mengambil kira cara kita bekerja, landskap ekonomi juga berubah dengan ketara dan mendadak.
“Jadi, itu perlu diambil perhatian, sebab itu ia (RMK-12) perlu dilihat semula,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.