3 JULAI: Sidang Dewan Rakyat bermula 13 Julai depan akan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sesuai dengan kebiasaan baru bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, meskipun terdapat sedikit kelonggaran tetapi perkara itu tidak akan membelakangkan keperluan penjarakan sosial satu meter di antara Ahli Parlimen.
“Kedudukan di dalam dewan akan diperkemaskan termasuk soal jarak antara Ahli Parlimen yang sebelum ini agak tidak tersusun.
“Walaupun pada persidangan sebelum ini (18 Mei 2020), ada jarak antara Ahli Parlimen, tetapi untuk persidangan akan datang penjarakan sosial itu akan disusun dalam kiraan yang tepat supaya persidangan yang berlangsung mampu memuatkan tetamu yang hadir,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemberian Sumbangan Kebajikan Parlimen Batu Pahat hari ini.
Mohd Rashid berkata, semua Ahli Parlimen perlu hadir pada sidang kali ini kecuali yang mempunyai alasan kukuh dan pemeriksaan kesihatan akan dilakukan kepada mereka yang bergejala sahaja.
“Sidang dewan juga akan dijalankan seperti kebiasaannya apabila tempoh masa bersidang akan dimulakan bermula jam 10.00 pagi dan akan tamat pada jam 5.30 petang, kecuali jika ada usul baharu.
“Sidang kali ini juga dianggap penting kerana akan lebih memfokuskan kepada usul yang berkaitan keselamatan negara berbanding dengan usul yang lain,” katanya.