4 JULAI: Samai 234 orang rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Arab Saudi sebelum ini, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.51 tengah hari, semalam.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kesemua mereka berangkat pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh jam 11.47 malam waktu tempatan di Riyadh pada 2 Julai, menggunakan penerbangan repatriasi Saudia Airlines.
Menurut beliau, selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, mereka diwajibkan menjalani proses saringan kesihatan setibanya di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing.
“Urusan kepulangan kumpulan warga Malaysia berkenaan dipermudahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, dengan kos pembiayaan ditanggung secara persendirian oleh penumpang,”katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Kamarudin berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia di Arab Saudi.