4 JULAI: Semua dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya akan melaksanakan solat Jumaat satu sesi sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata isu solat Jumaat dua sesi tidak timbul kerana perkara itu telah diputuskan di dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
“Perkara ini juga bertepatan dengan mazhab Shafie di samping memikirkan suasana-suasana yang lain.
“Jadi isu solat Jumaat dua sesi ini setakat ini secara masyhurnya atau rasminya kalau di Wilayah Persekutuan kita tidak praktikkan dan kita tetap dengan satu sesi sahaja,” katanya pada sidang media di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, hari ini.
Zulkifli berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan Malaysia akan mengambil langkah serupa seperti Singapura yang akan melakukan dua sesi solat Jumaat di negara itu bermula 24 Jun lalu.
Majlis Ulama Islam Singapura (MUIS) pada 19 Jun dilaporkan mengumumkan pelaksanaan semula solat Jumaat secara berjemaah di 66 masjid di seluruh Singapura bermula 24 Jun lalu.