4 JULAI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, menegaskan pihaknya tidak pernah cuba menutup atau berhenti menyiasat skandal projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Malah, Azam menjelaskan, SPRM sudah membuka lima kertas siasatan berhubung projek berkenaan dan tiada cadangan menutupnya bahkan siasatan masih berjalan seperti biasa.
“Kita akui siasatan kes ini berjalan agak perlahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan tetapi kita tidak pernah ada cadangan pun untuk menutup siasatan projek ini.
“Berdasarkan pembentangan pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini, siasatan mereka sudah di peringkat akhir.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin kemudian diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh dua ke tiga minggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya SPRM kini dikatakan membuka kembali siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3bilion itu selepas berlaku peralihan kuasa antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Azam memberitahu, beliau sendiri mengikuti rapat kes projek terowong dasar laut itu sejak kertas siasatan dibuka pada 2017 dan penyiasatannya akan terus bersambung apabila menemui bukti baharu.
Beliau turut menyerahkan kepada pegawai penyiasat sama ada perlu atau tidak SPRM melakukan tangkapan terhadap orang kenamaan (VIP) untuk membantu siasatan lanjut kes terbabit.
“Buat masa ini saya tidak menerima laporan lagi dari pegawai penyiasat untuk tangkap mana-mana pihak dan mana yang ditangkap pula kerana ada keperluan penangkapan itu dibuat.
“Terserahlah kepada pegawai penyiasat untuk membuat keputusan sama ada perlu atau tidak mereka menahan individu terbabit,” jelasnya.
Bagaimanapun, Azam menjelaskan sehingga kini seramai 32 saksi tambahan sudah diambil keterangan dalam tempoh lima hari ini untuk melengkapkan siasatan kes ini.
“Pada minggu hadapan pula 10 ke 15 lagi saksi relevan berkenaan projek itu akan diambil keterangan,” katanya.
Selasa lalu, SPRM menahan bekas Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam selepas mengambil keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut.
Selain itu, SPRM juga pergi ke pejabat kerajaan negeri untuk bertemu dengan beberapa pemimpin untuk melengkapkan siasatan.