5 JULAI: Arab Saudi menjadi negara Teluk yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 apabila lebih 200,000 kes dicatatkan dengan lebih 4,000 kematian.
Berdasarkan maklumat kementerian kesihatan negara itu, 4,193 kes baharu direkodkan setakat kelmarin manakala lebih 140,000 pesakit sembuh.
Sebelum ini, negara berkenaan mengumumkan memberi kebenaran hanya 1,000 jemaah menunaikan ibadat haji tahun ini sebagai langkah mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan.
Pada 2019, 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadat berkenaan.
Sementara itu, memetik laporan berita tempatan, pihak berkuasa Arab Saudi mengetatkan protokol kebersihan dan kesihatan jemaah haji.
Antaranya, hanya membenarkan jemaah berusia tidak lebih 65 tahun dan tiada penyakit kronik.
Ujian saringan terhadap jemaah haji juga dilaksanakan ketika jemaah memasuki Mekah.
Selepas menunaikan ibadat berkenaan, mereka perlu menjalani kuarantin di rumah.
Terdapat peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 selepas perintah kawalan di negara itu dilonggarkan pada akhir Mei.