5 JULAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengucapkan selamat berkhidmat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini yang baru, Mohd Shahrim Md Zain.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata, parti itu juga mengucapkan tahniah di atas kemenangan besar Mohd Shahrim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini yang berlangsung semalam.
“Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada seluruh jentera parti yang telah berkerja keras sepanjang PRK Chini untuk menentukan majoriti besar yang diperolehi.
“BERSATU juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pengundi yang telah menjalankan tanggungjawab keluar mengundi pada PRK DUN Chini,” katanya dalam kenyataan itu yang turut dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.
Mohd. Sharim berjaya memastikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu apabila menang dengan majoriti 12,650 undi.
Mohd Sharim menewaskan dua calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.
Mohd Shukri cuma memperoleh 137 sementara Zainul Hisham yang mendapat sokongan terbuka Tun Dr. Mahathir Mohamad pula memperoleh 1,222 undi.
PRK DUN Chini adalah pilihan raya pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa bermula 18 Mac ekoran penularan pandemik Covid-19. -M.H HAMID