5 JULAI: Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam akan mengukuhkan lagi kesepakatan dalam kalangan parti-parti Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kemenangan tersebut turut menggambarkan penerimaan baik rakyat terhadap segala apa yang dilakukan kerajaan PN dalam tempoh yang singkat ini.
“Alhamdulillah. Tahniah dan selamat berkhidmat saya ucapkan kepada YB Mohd. Sharim Md. Zain yang telah dipilih mewakili warga Chini.
“Kemenangan besar ini akan mengukuhkan lagi kesepakatan dalam kalangan parti-parti Perikatan Nasional dan turut menggambarkan penerimaan baik rakyat terhadap segala apa yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional dalam tempoh yang singkat ini.
“Terima kasih Chini,” kata Menteri Dalam Negeri itu menerusi catatan di akaun Facebook miliknya hari ini.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Chini apabila calonnya, Mohd. Sharim menewaskan dua calon Bebas dengan majoriti 12,650 undi.
Calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang disokong Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog masing-masing memperoleh hanya 1,222 undi dan 137 undi.
Selain BN sendiri, PRK ini juga buat kali pertama menyaksikan kerjasama jentera pelbagai parti daripada PN dan Menteri-menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan termasuk Hamzah turut tidak ketinggalan turun padang membantu kempen Mohd. Sharim.
PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.