5 JULAI: Demi menangani masalah trauma terhadap pandemik COVID-19, seramai 148 kaunselor akan ditugaskan di Klinik Kesihatan seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kebimbangan psikososial akibat COVID-19 bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi membabitkan negara lain yang terjejas akibat pandemik itu.
Menurut beliau, individu atau pelajar yang mengalami trauma akibat COVID-19 atau tahap keyakinan yang rendah terhadap norma baru boleh mendapatkan rawatan dengan segera.
“Setakat ini tiada laporan berhubung kebimbangan psikososial namun KKM sudah pun bersedia daripada segala sudut, termasuk penyediaan kaunselor bagi menangani kes ini, sekiranya ada.
“Oleh sebab itu, bagi melicinkan proses pembelajaran, kita mahu dalam pemikiran anak-anak di sekolah yakin kerana mereka adalah di antara golongan yang sentiasa dijaga,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan Berita Harian, hari ini.
Dr Adham memberitahu, KKM juga telah menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pelajar dan pihak sekolah agar tiada kewujudan kluster sekolah apabila dibuka sepenuhnya nanti.
Tambahnya, antara kandungan garis panduan itu ialah saringan suhu badan, penjarakan sosial dalam kelas serta kantin dan tidak mengadakan perhimpunan.
“Kita mahu mereka patuhi dan yakin dengan SOP ini, malah sehingga kini penularan wabak COVID-19 dapat ditangani hasil kerjasama rakyat dan pemimpin.
“Sehingga kini keadaan bertambah baik dengan pembukaan pelbagai sektor ekonomi dan juga sektor pendidikan. Pematuhan rakyat terhadap SOP sangat penting dalam hal ini,” katanya.