5 JULAI: Kerja keras jentera Barisan Nasional (BN) di setiap peringkat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini menerima rakaman penghargaan daripada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam masa sama, Menteri Kanan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu turut mengucapkan terima kasih kepada Pas dan juga rakan-rakan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut membantu sehingga membawa kemenangan besar calon BN.
Menerusi akaun Facebook miliknya hari ini, Ismail Sabri memulakan catatan dengan mengucapkan syukur kepada Allah berikutan kemenangan besar calon BN, Mohd. Sharim Md Zain yang meperoleh 12,650 undi.
Beliau kemudian mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Chini yang telah memberikan kemenangan yang besar dan bergaya kepada Mohd. Sharim.
“Terima kasih semua!,” kata Ahli Parlimen Bera itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menyifatkan kemenanganMohd Sharim membuktikan kerja keras BN, Pas dan Bersatu yang berkempen selama dua minggu itu berbaloi.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, kemenangan ini terhasil daripada kerja kuat semua pihak yang bertungkus-lumus berkempen memberi keputusan menyebelahi BN.
Menurut beliau, walaupun kemenangan sudah dijangka, namun jumlah majoriti yang diperolehi Mohd Sharim sangat mengejutkan.
“Kita tahu ada calon Bebas yang disokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebab itu kita bersungguh-sungguh untuk berkempen termasuk menggunakan laman sosial dan ternyata berkesan,” katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu, pada PRK semalam, Mohd Shahrim memperoleh 12,650 manakala calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing memperoleh 1,220 dan 173 undi.
Ahmad Maslan memberitahu, kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (MN) bukan di atas kertas tetapi direalisasikan melalui politik.
“Kita sudah enam kali menang dalam PRK sebelum ini dan kita sudah bersedia hadapi sebarang pilihan raya secara mengejut.
“Kita yakin kerjasama BN dan Pas akan lebih positif dan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.