5 JULAI: Sayap wanita Keadilan di Kelantan mengambil langkah sama seperti Selangor dan Johor yang berundur daripada parti disebabkan tindakan pimpinan tertinggi PKR yang memecat Ketua Wanitanya, Haniza Mohamed Talha baru-baru ini.
Nor Rosmani Mohd Noor hari ini mengumumkan dia selaku Naib Ketua Wanita Keadilan Kelantan bersama sayapnya mengumumkan tindakan keluar parti itu sebagai tanda solidariti terhadap Haniza dan juga bantahan terhadap penganiayaan parti tersebut yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nor Rosmani berkata, kesemua mereka keluar parti berkuat kuasa serta merta selepas hilang kepercayaan dan kecewa dengan kemelut yang melanda parti berkenaan.
“Keputusan ini adalah kerana saya telah menyaksikan perbalahan tak henti politik peringkat tertinggi dengan pelbagai keputusan memeranjatkan.
“Seorang demi seorang pemimpin Wanita saya dijadikan mangsa korban dipecat begitu mudah tanpa sebarang alasan munasabah dan soal selidik serta tidak mengenang sedikitpun pengorbanan pemimpin Wanita Keadilan selama ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Nor Rosmani memberitahu, dirinya telah menyaksikan bagaimana ibu bapanya sendiri berkorban masa dan tenaga demi pembebasan seorang pemimpin bernama Anwar.
Menurut beliau, sayap wanita Keadilan Kelantan berkumpul ketika ini sebagai tanda solidariti kuat dan kukuh dari pimpinan wanita dan rakan seperjuangan Keadilan dan Perkem (Gek) terus menyokong Haniza Talha.
“Saya difahamkan pada ketika itu, Anwar dilihat sebagai pemimpin yang boleh bawa masa depan cerah ke arah Malaysia baharu dan mendukung nilai murni dan keadilan untuk semua.
“Malangnya kini, semua menjadi sia-sia rupanya apabila kebebasan yang dilaungkannya selama ini hanya menjadi milik beliau (Anwar) semata-mata.
“Beliau lupakan jasa dan pengorbanan (sayap Wanita) dan mana perginya konsepnya dulu yang kononnya ingin membela keadilan rakyat kerana beberapa hari lepas, satu lagi ketidakadilan mengejutkan saya yang mana Ketua Wanita Keadilan Pusat iaitu Haniza dipecat,” katanya. –AIMAN SADIQ ABDULLAH