Oleh: DATUK SERI SYED ALI ALHABSHEE
SAYA terpanggil untuk melontarkan pandangan bahawa penyatuan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia adalah sesuatu yang WAJIB berlaku menerusi kesatuan politik yang kuat dan stabil.
Supaya orang Melayu tidak sekadar menjadi seperti ‘melukut di tepi gantang’, pemimpin politik Melayu seharusnya mengetepikan ego dan kehendak peribadi serta menerima keputusan secara kolektif jika keputusan itu bersandarkan kepada kepentingan umat di masa akan datang, bukannya masing-masing berebut kuasa.
Ingatlah apa yang berlaku semasa umat Melayu Islam diperintah di bawah kerajaan genggaman DAP selama 22 bulan? Adalah HARAM sekiranya sejarah itu dibiarkan berulang.
Pengalaman pada PRU-14 lalu adalah sebaik-baik iktibar bila mana dominan parti Melayu hancur berkecai dan UMNO yang selama ini menjadi tonggak kuasa turut hanyut ditolak rakyat.
Bukan maknanya saya terlalu ultra Melayu tetapi selama 22 bulan kerajaan PH memerintah, kita dapat saksikan pemimpin DAP begitu rasis dalam corak pentadbiran mereka, dasar pemerintahan mereka amat memedihkan orang Melayu, biarpun pada dasarnya kerajaan PH berketuakan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri.
Saya berpandangan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yasin segera keluar daripada PH dan bergerak di bawah Perikatan Nasional (PN) sehingga berjaya menubuhkan kerajaan, adalah langkah berani untuk ‘menyelamatkan orang Melayu’ daripada terus hilang kuasa.
Memang ada yang mengkritik dan mengecam tindakan Muhyiddin, tetapi jika diamati secara tersurat, jelas Muhyiddin mengambil langkah tidak popular meninggalkan PH demi kelangsungan perjuangan orang Melayu dan perpaduan umat Islam di Malaysia.
Hakikatnya Tun Mahathir sendiri semasa pemerintahan 22 bulan itu juga “tidak berasa selesa” dengan cengkaman keterlaluan DAP sehingga bersetuju membuat rancangan sulit supaya “melemahkan DAP” melalui satu perhimpunan umat Melayu. Itu juga sejarah yang tidak boleh dipadamkan.
Kita perlu menerima hakikat dan berlaku jujur bahawa bukan Melayu khususnya DAP juga boleh berfikir jika orang Melayu kembali bersatu, maka peluang mereka untuk berkuasa di negara ini tidak akan berjaya.
Oleh sebab itu, DAP akan menggunakan pelbagai strategi termasuk memperalatkan pemimpin Melayu yang berkepentingan untuk memecah-belahkan perpaduan orang Melayu, sepertimana mereka berjaya lakukan selama 22 bulan menbentuk kerajaan PH.
Renungilah satu catatan terbaharu oleh Murray Hunter bertajuk Singapore’s Malay Dilemma: They continue to be left out of the island republic’s prosperity (https://www.asiasentinel.com/p/singapores-malay-dilemma) apabila umat Melayu di Singapura ditekan dan ditindas oleh parti pemerintah negara itu, PAP. Tidak mustahil ia juga boleh berlaku di sini!
Justeru, adalah langkah yang amat bijak apabila pemimpin UMNO dan PAS mengambil keputusan untuk bersama-sama Muhyiddin sebagai PM-9 pada PRU akan datang kerana mereka sudah sedar hanya gabungan itu sahaja mampu membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan memberi manfaat kepada orang Melayu.
Malah ramai bersetuju dan menyambut baik pendirian UMNO dan PAS serta kompen BN yang menzahirkan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU-15.
Suara akar umbi senada dan menyifatkan pendirian tersebut sebagai ‘pemulihan politik’ untuk terus meyakinkan Muhyiddin bahawa beliau telah membuktikaan sebagai PM yang benar-benar bertanggungjawab membawa kesejahteraan untuk rakyat dan membina negara kearah yang lebih cemerlang.
Cuma beberapa kerat pemimpin UMNO yang dikatakan kurang senang dengan pencalonan Muhyiddin kerana merasakan parti itu adalah ‘juara’ yang membolehkan kerajaan PN dibentuk selepas kerajaan 22 bulan PH tumbang, sedangkan sejarah PRU-14 semuanya hancur dalam sekelip mata.
Saya berpendirian bahawa dalam apa juga perkara permuafakatan memilih calon PM, yang utama adalah bersandarkan kepentingan rakyat, bukannya kerana perasaan ego dan terbelit dengan masalah peribadi.
Sejujurnya, Muhyiddin pada kaca mata rakyat hari ini adalah contoh Perdana Menteri terbaik dan dekat dihati mereka. Malah mereka bersedia untuk menerima Muhyiddin sebagai PM-9 bagi meneruskan agenda memperkuatkan perpaduan bangsa Melayu, kekuatan umat Islam dan negara Malaysia.
Saya penuh yakin pemimpin tertinggi UMNO-PAS yang menjadi sekutu politik BERSATU dalam kerajaan PN, telah membuat keputusan terbaik memilih Muhyiddin untuk masa depan orang Melayu – ‘ditolak tidak jatuh, dilumat tidak hancur’.
BERDOSA besar kita sekiranya pakatan Melayu-Islam ini digagalkan atau cuba digagalkan.