6 JULAI: Parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN) sedang berbincang tentang proses mendaftarkan gabungan tersebut secara rasmi.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usaha itu memerlukan kerjasama semua parti di bawah BN.
“Ini adalah sesuatu yang kita sedang rancang dan saya maklumkan perancangan memerlukan kerjasama pada semua parti-parti yang mempunyai perlembagaan dan prosedur masing-masing.
“Dan kita minta supaya semua parti-pati dapat menyelesaikannya secepat yang mungkin,” katanya dalam rakaman sidang media yang disiarkan MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu dan KM Tok Bali kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di limbungan Destination Marine Services Sdn. Bhd, Pelabuhan Klang, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah menyatakan bahawa agenda utamanya adalah untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pada saya, sama ada ianya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat atau panjang itu tidak menjadi agenda utama saya.
“Agenda utama saya supaya rakyat yakin dengan kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan PN yang benar-benar mempunyai kondisi yang teguh berbanding kerajaan sebelum ini,” jelasnya.