6 JULAI: Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) di bawah kendalian Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal diperluaskan kepada 3,000 peruncit koperasi di seluruh negara sepanjang tahun ini hingga 2021.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, BA100 merupakan program berteraskan platform e-dagang, jimatbiz.com yang mengumpulkan belian barang asas secara pukal bagi membolehkan mereka mengisi semula barang untuk dijual di kedai runcit koperasi.
“Buat permulaan, kita fokus pada barangan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak serta akan dikembangkan kepada barangan basah selain barangan bukan kawalan seperti sabun pencuci dan sebagainya.
“Saya percaya ahli koperasi dan rakyat akan mendapat keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Beliau menambah, Angkasa telah menerima 1,500 pendaftaran peruncit koperasi BA100 setakat ini.